24 April 2007

Dan Din Don

Bagi peminat majalah kartun 'Gila-gila' pasti tidak pernah lupa gelagat kanak-kanak riang 'Dan Din Don' suatu ketika dahulu. Itulah karya kartunis yang menggelarkan namanya 'Don' atau nama sebenarnya Saadon Ishak.

Kartunis yang berasal dari Grik, Perak ini mempunyai gaya lukisan kartunnya yang tersendiri. 'Pengembaraan Pendekar Mata Tiga' juga siri kartun beliau yang mendapat tempat di hati peminat-peminat kartun sezaman dengannya mahupun sekarang.

Kartunis Don juga terlibat dalam pembinan filem animasi kedua Malaysia, 'Putih'. Watak-watak asal dalam filem animasi tersebut adalah rekaannya berpandukan pelakon terkenal yang terdiri daripada M.Nasir,(watak Putera Aftus), Erra Fazira,(watak Putih), Wan Maimunah(watak Mak Kundur), Raja Azura,(watak Merah), dan lain-lain lagi.

Beliau melakar watak-watak asal tersebut ketika para pelakon sedang melakukan proses rakaman suara bagi filem animasi 'Putih' berlangsung. Kartunis Don, kini aktif melukis karikatur dan menumpukan kerjayanya sebagai pelukis karikatur profesional.

Beliau telah mempunyai ruang melukis karikatur di sebuah pusat membeli-belah bertempat di Bukit Bintang. Pelanggannya terdiri dari pelancong dan pengunjung tempatan pusat membeli-belah tersebut. Lukisan berbentuk karikatur hasil karyanya juga sering menghiasi kain rentang periklanan produk sebagai daya tarikan kepada pengunjung.

Lakaran karikatur wajah aku beserta aoutograf dari kartunis Don ketika aku menziarahi beliau di kediamannya.

Haji Zainal Buang Hussein Gundah?

Bekas presiden Pekartun iaitu kartunis yang disegani ramai, Haji Zainal Buang Hussein adalah diantara pelopor majalah 'Gila-Gila' terbitan kumpulan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) dan banyak menghasilkan ilustrasi kulit majalah tersebut di awal pembabitannya. Beliau juga turut menghasilkan kartun 'Kutu' bagi akhbar Utusan Malaysia untuk beberapa tahun secara bersiri hingga menjadi kompilasi terbaik beliau. Beberapa novel kreatif juga pernah dihasilkannya. Kini, Haji Zainal Buang Hussein bakal kembali beraksi dengan novel grafiknya 'Gundah'. Karya Haji Zainal sudah pastinya dinanti-nantikan peminat dunia kartun tanahair. Lorekan halus disetiap karya hasil tangan Haji Zainal dalam kartun mahupun karikatur buat ramai peminat serta rakan seperjuangan terpegun setiap kali melihatnya. Dari situ dapat dilihat betapa telitinya Haji Zainal apabila menyiapkan sesuatu yang bakal dipertonton kepada pembaca. Selain melukis kartun, karikatur, ilustrasi dan menulis novel, Haji Zainal juga merupakan seorang pelukis catan. Menjengah ke rumah beliau pada pertengahan tahun 2006 membuatkan aku rasa seperti ke sebuah galeri. Di dinding ruang tamu rumahnya dipenuhi lukisan-lukisan yang cukup indah. Bila dihayati ternyata Haji Zainal merupakan seorang yang amat mementingkan kualiti pada setiap karyanya. Tidak hairanlah jika segala hasil kerja Haji Zainal masih diminati, diingati dan digilai hingga kini kerana kualiti dan ketelitiannya. Sama-sama kita nantikan kemunculan 'Gundah' dipasaran kelak.

Menjengah Haji Zainal Buang Hussein

Autograf dari Haji Zainal berbentuk karikatur beliau beserta doa buat aku dalam membina kerjaya.


Sebahagian kulit novel grafik 'Gundah' yang dapat disiarkan.


Petikan dari karya terbaru Haji Zainal Buang Hussein dalam novel grafik berjudul 'Gundah'







Karikatur diri sendiri dijadikan hiasan di pintu masuk rumah. Aku tidak melepaskan peluang mengambil gambar untuk dijadikan simpanan peribadi dan aku kongsikan buat tatapan peminat-peminat Haji Zainal Buang Hussein di sini.












Di sinilah ruang Haji Zainal berkarya. Melihat kepada buku-buku yang menimbun, ternyata Haji Zainal Buang Hussein rajin membaca dan sering melakukan kajian bagi menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti.


Haji Zainal Buang Hussein bersama potret Mawi, hasil lukisan beliau menggunakan cat minyak di atas canvas.