Setelah ilustrasi kulit novel 'Memeluk Gerhana' dihasilkan, aku mendapat satu lagi peluang menyiapkan ilustrasi bagi sebuah novel drama hasil tulisan penulis yang cukup dikenali ketika ini, Faisal Tehrani. Kali ini ilustrasi yang dikehendaki lebih mencabar dan rumit untuk dihasilkan kerana ceritanya mempunyai watak-watak yang sukar untuk aku gambarkan dalam bentuk ilustrasi. Walau bagaimanapun, setiap watak yang ada telah disertakan perwatakannya oleh penulis untuk aku jadikan panduan ketika melakukan proses melukis ilustrasinya. Watak-watak di dalam drama novel ini adalah Sahlan, seorang volkanalogis berusia akhir 20an yang ingin menjalani pembedahan menjadi seorang wanita transeksual, Mazlan 30an, seorang doktor perubatan yang mempunyai masalah rumahtangga, Razlan seorang ustaz muda berusia 30an dan paling menarik adalah Paduka Ratu. Di sini ingin aku kongsikan beberapa lakaran proses penghasilan ilustrasi bagi novel drama 'Bila Tuhan Berbicara'.
21 April 2007
Setelah membaca sinopsis dan membuat perbincangan, pada peringkat permulaan aku membuat lakaran kasar watak-watak yang aku bayangkan. Apabila mendapat persetujuan pihak penerbit, aku membuat lakaran pensil yang agak bersih dan halus sebelum proses memasukkan dakwat. Segala proses secara manual selesai barulah aku memulakan proses mewarna secara digital. Untuk memilih warna yang sesuai juga agak sukar kerana ilustrasi ini sekali lagi akan digabungkan bersama lukisan catan gaya naive karya Yusof Gajah. Aku yang masih banyak kekurangan dalam proses mewarna secara digital ini akhirnya berjaya juga menyiapkan ilustrasi kulit novel drama karya Faisal Tehrani ini dengan membawa pengalaman baru untuk aku meneruskan ilustrasi aku di masa akan datang.
Watak Sahlan(kiri sekali), Ustaz Razlan(tengah), Dr.Mazlan(kanan).
Ilustrasi Kulit Novel
Menghasilkan kelainan di dalam sebuah ilustrasi yang ingin dijadikan penghias kulit novel bukanlah suatu kerja yang mudah lebih-lebih lagi pada waktu yang singkat. Aku telah menerima satu tugasan bagi menghasilkan ilustrasi penghias kulit novel, 'Memeluk Gerhana' karya Isa Kamari. Pengalaman ini amat mencabar bagi ilustrator yang masih mentah seperti aku. Banyak lakaran yang telah dibuat selepas sesi perbincangan dalam kumpulan kerja. Setelah membaca sebahagian sinopsis dan pengenalan watak di dalam novel ini, aku melakarkan lukisan berbentuk 'oranglidi' sebanyak yang mungkin bagi mendapatkan idea. Berikut adalah sebahagian lakaran yang dihasilkan selepas beberapa lakaran berbentuk 'oranglidi' dilakukan. Turut terlibat dalam penghasilan kulit novel ini adalah pelukis terkenal dengan gaya naive iaitu Yusof Gajah dan Nur Azmi bersama rekaan grafik oleh Khyrul Alfie. Buat rakan-rakan seperjuangan yang berpengalaman, harap dapat memberikan aku pendapat, pandangan dan tunjuk ajar setelah menilai hasil kerja aku ini untuk aku jadikan panduan pada karya aku di masa akan datang.
Langgan:
Catatan (Atom)