26 April 2007

Siapa Zulkifli S.M Anwar Ulhaque?

Mungkin tidak ramai yang mengenali Zulkiflee bin S.M. Anwar Ulhaque, anak kelahiran Bukit Junun, Gurun, Kedah ini. Mula berkarya seawal tahun 1973 di majalah 'Bambino', kemudian kartun karyanya mula tersiar di majalah 'Kisah Cinta' dan akhbar 'Mingguan Perdana'.

Zulkiflee bin S.M. Anwar Ulhaque adalah nama sebenar kartunis yang terkenal dengan nama samarannya Zunar. Zunar seterusnya berkarya bersama majalah 'Gila-Gila' terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd. Ideanya yang sinis, mula menarik perhatian pembaca juga penerbit lalu ditempatkan kartun karya Zunar di dalam majalah sisipan 'Gila-Gila', 'Cili Padi' dengan kartun berjudul 'Gebang-gebang'.

Atas sambutan peminat serta pembaca 'Cili Padi' yang begitu menggalakkan, 'Gebang-gebang' akhirnya diterbitkan dalam bentuk koleksi. Zunar juga pernah memegang jawatan sebagai setiausaha Persatuan Kartunis Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pekartun). 'Papa' pula merupakan karya Zunar yang disiarkan bersama akhbar 'Berita Harian' dalam bentuk kartun strip. Selain itu kartun berjudul 'Cinta Tak Semestinya Bersatu' dengan watak pasangan kekasih 'Liza' dan 'Kadok', 'Ofis Corner' yang memaparkan ragam kakitangan-kakitangan pejabat antara karya Zunar yang masih dicari pembaca serta peminat bagi generasi baru sebagai simpanan koleksi peribadi masing-masing.

Pada sekitar tahun 1998, atas rasa tanggungjawab beliau sebagai kartunis yang ingin menyampaikan sesuatu kepada masyarakat, Zunar mula beralih kepada bentuk kartun politik. Kali ini kartun politik hasil karyanya diterbitkan bersama akhbar 'Harakah'. Idea-idea tajam dengan humor yang sinis menunjukkan kematangan beliau dalam berkarya. Gaya lukisan kartun yang unik serta karikatur wajah ahli politik terkini dan terdahulu sering mencuit hati pembaca dan peminatnya dengan penyampaian mesej yang penuh makna.

Zunar masih bergerak aktif membentuk bakat-bakat baru sebagai kartunis pelapis di dalam bengkel kartun bersama beliau pada penghujung tahun 2006. Sifatnya yang kelakar dan suka bergurau menimbulkan satu suasana yang ceria bagi setiap sesi pembelajaran di dalam bengkel yang dianjurkan.

Buat peminat-peminat kartun karya Zunar yang telah lama menunggu, sebuah koleksi terbaru beliau telah berada di pasaran berjudul 'Cartoons On Tun And Others'. Bagi yang ingin melihat rakaman pelancaran buku itu serta gambar-gambar boleh menziarahi....
http://blog.twilight-zones.com/?p=107 dan yang ingn membeli secara on line sila ke http://www.kinibooks.com/product_info.php?products_id=659 .

Zunar kini masih lagi berkarya untuk kartun politik di akhbar 'Harakah', 'Suara Keadilan', dan 'Wasilah'. Sebuah buku yang berjudul 'Ayah Kita Bos' hasil tulisan 'Si Naga-naga' dan 'Tok Rimau' turut menyiarkan kartun sentuhan Zunar.
Autograf dari kartunis Zunar beserta kata-kata semangat sebagai dorongan buat aku.



Para peserta sedang tekun mempelajari ilmu di dalam bengkel 'Motivasi Karya' bersama kartunis Zunar.

24 April 2007

Dan Din Don

Bagi peminat majalah kartun 'Gila-gila' pasti tidak pernah lupa gelagat kanak-kanak riang 'Dan Din Don' suatu ketika dahulu. Itulah karya kartunis yang menggelarkan namanya 'Don' atau nama sebenarnya Saadon Ishak.

Kartunis yang berasal dari Grik, Perak ini mempunyai gaya lukisan kartunnya yang tersendiri. 'Pengembaraan Pendekar Mata Tiga' juga siri kartun beliau yang mendapat tempat di hati peminat-peminat kartun sezaman dengannya mahupun sekarang.

Kartunis Don juga terlibat dalam pembinan filem animasi kedua Malaysia, 'Putih'. Watak-watak asal dalam filem animasi tersebut adalah rekaannya berpandukan pelakon terkenal yang terdiri daripada M.Nasir,(watak Putera Aftus), Erra Fazira,(watak Putih), Wan Maimunah(watak Mak Kundur), Raja Azura,(watak Merah), dan lain-lain lagi.

Beliau melakar watak-watak asal tersebut ketika para pelakon sedang melakukan proses rakaman suara bagi filem animasi 'Putih' berlangsung. Kartunis Don, kini aktif melukis karikatur dan menumpukan kerjayanya sebagai pelukis karikatur profesional.

Beliau telah mempunyai ruang melukis karikatur di sebuah pusat membeli-belah bertempat di Bukit Bintang. Pelanggannya terdiri dari pelancong dan pengunjung tempatan pusat membeli-belah tersebut. Lukisan berbentuk karikatur hasil karyanya juga sering menghiasi kain rentang periklanan produk sebagai daya tarikan kepada pengunjung.

Lakaran karikatur wajah aku beserta aoutograf dari kartunis Don ketika aku menziarahi beliau di kediamannya.

Haji Zainal Buang Hussein Gundah?

Bekas presiden Pekartun iaitu kartunis yang disegani ramai, Haji Zainal Buang Hussein adalah diantara pelopor majalah 'Gila-Gila' terbitan kumpulan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) dan banyak menghasilkan ilustrasi kulit majalah tersebut di awal pembabitannya. Beliau juga turut menghasilkan kartun 'Kutu' bagi akhbar Utusan Malaysia untuk beberapa tahun secara bersiri hingga menjadi kompilasi terbaik beliau. Beberapa novel kreatif juga pernah dihasilkannya. Kini, Haji Zainal Buang Hussein bakal kembali beraksi dengan novel grafiknya 'Gundah'. Karya Haji Zainal sudah pastinya dinanti-nantikan peminat dunia kartun tanahair. Lorekan halus disetiap karya hasil tangan Haji Zainal dalam kartun mahupun karikatur buat ramai peminat serta rakan seperjuangan terpegun setiap kali melihatnya. Dari situ dapat dilihat betapa telitinya Haji Zainal apabila menyiapkan sesuatu yang bakal dipertonton kepada pembaca. Selain melukis kartun, karikatur, ilustrasi dan menulis novel, Haji Zainal juga merupakan seorang pelukis catan. Menjengah ke rumah beliau pada pertengahan tahun 2006 membuatkan aku rasa seperti ke sebuah galeri. Di dinding ruang tamu rumahnya dipenuhi lukisan-lukisan yang cukup indah. Bila dihayati ternyata Haji Zainal merupakan seorang yang amat mementingkan kualiti pada setiap karyanya. Tidak hairanlah jika segala hasil kerja Haji Zainal masih diminati, diingati dan digilai hingga kini kerana kualiti dan ketelitiannya. Sama-sama kita nantikan kemunculan 'Gundah' dipasaran kelak.

Menjengah Haji Zainal Buang Hussein

Autograf dari Haji Zainal berbentuk karikatur beliau beserta doa buat aku dalam membina kerjaya.


Sebahagian kulit novel grafik 'Gundah' yang dapat disiarkan.


Petikan dari karya terbaru Haji Zainal Buang Hussein dalam novel grafik berjudul 'Gundah'







Karikatur diri sendiri dijadikan hiasan di pintu masuk rumah. Aku tidak melepaskan peluang mengambil gambar untuk dijadikan simpanan peribadi dan aku kongsikan buat tatapan peminat-peminat Haji Zainal Buang Hussein di sini.












Di sinilah ruang Haji Zainal berkarya. Melihat kepada buku-buku yang menimbun, ternyata Haji Zainal Buang Hussein rajin membaca dan sering melakukan kajian bagi menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti.


Haji Zainal Buang Hussein bersama potret Mawi, hasil lukisan beliau menggunakan cat minyak di atas canvas.


21 April 2007

Ilustrasi Kulit Novel Drama 'Faisal Tehrani'



Setelah ilustrasi kulit novel 'Memeluk Gerhana' dihasilkan, aku mendapat satu lagi peluang menyiapkan ilustrasi bagi sebuah novel drama hasil tulisan penulis yang cukup dikenali ketika ini, Faisal Tehrani. Kali ini ilustrasi yang dikehendaki lebih mencabar dan rumit untuk dihasilkan kerana ceritanya mempunyai watak-watak yang sukar untuk aku gambarkan dalam bentuk ilustrasi. Walau bagaimanapun, setiap watak yang ada telah disertakan perwatakannya oleh penulis untuk aku jadikan panduan ketika melakukan proses melukis ilustrasinya. Watak-watak di dalam drama novel ini adalah Sahlan, seorang volkanalogis berusia akhir 20an yang ingin menjalani pembedahan menjadi seorang wanita transeksual, Mazlan 30an, seorang doktor perubatan yang mempunyai masalah rumahtangga, Razlan seorang ustaz muda berusia 30an dan paling menarik adalah Paduka Ratu. Di sini ingin aku kongsikan beberapa lakaran proses penghasilan ilustrasi bagi novel drama 'Bila Tuhan Berbicara'.





Setelah membaca sinopsis dan membuat perbincangan, pada peringkat permulaan aku membuat lakaran kasar watak-watak yang aku bayangkan. Apabila mendapat persetujuan pihak penerbit, aku membuat lakaran pensil yang agak bersih dan halus sebelum proses memasukkan dakwat. Segala proses secara manual selesai barulah aku memulakan proses mewarna secara digital. Untuk memilih warna yang sesuai juga agak sukar kerana ilustrasi ini sekali lagi akan digabungkan bersama lukisan catan gaya naive karya Yusof Gajah. Aku yang masih banyak kekurangan dalam proses mewarna secara digital ini akhirnya berjaya juga menyiapkan ilustrasi kulit novel drama karya Faisal Tehrani ini dengan membawa pengalaman baru untuk aku meneruskan ilustrasi aku di masa akan datang.







Watak Sahlan(kiri sekali), Ustaz Razlan(tengah), Dr.Mazlan(kanan).

Ilustrasi Kulit Novel








Menghasilkan kelainan di dalam sebuah ilustrasi yang ingin dijadikan penghias kulit novel bukanlah suatu kerja yang mudah lebih-lebih lagi pada waktu yang singkat. Aku telah menerima satu tugasan bagi menghasilkan ilustrasi penghias kulit novel, 'Memeluk Gerhana' karya Isa Kamari. Pengalaman ini amat mencabar bagi ilustrator yang masih mentah seperti aku. Banyak lakaran yang telah dibuat selepas sesi perbincangan dalam kumpulan kerja. Setelah membaca sebahagian sinopsis dan pengenalan watak di dalam novel ini, aku melakarkan lukisan berbentuk 'oranglidi' sebanyak yang mungkin bagi mendapatkan idea. Berikut adalah sebahagian lakaran yang dihasilkan selepas beberapa lakaran berbentuk 'oranglidi' dilakukan. Turut terlibat dalam penghasilan kulit novel ini adalah pelukis terkenal dengan gaya naive iaitu Yusof Gajah dan Nur Azmi bersama rekaan grafik oleh Khyrul Alfie. Buat rakan-rakan seperjuangan yang berpengalaman, harap dapat memberikan aku pendapat, pandangan dan tunjuk ajar setelah menilai hasil kerja aku ini untuk aku jadikan panduan pada karya aku di masa akan datang.

20 April 2007

Ilustrasi Nur Jannah Dini

Pada 25 Julai 2005 di Hotel Istana, Kuala Lumpur sebuah buku pendidikan awal kanak-kanak berjudul 'Cepat Baca' telah menerima hadiah galakan sempena Anugerah Buku Negara bagi kategori Pembikinan Buku Terbaik Buku Kanak-kanak Dalam Bahasa Melayu. Apa yang ingin aku kongsikan di sebalik buku 'Cepat Baca' ini adalah berkenaan ilustrasinya. Semua ilustrasi di dalam buku tersebut dilukis oleh Puan Nur Jannah Dini dan diwarnakan oleh ilustrator dalaman pihak penerbitan. Setiap aksi, mimik muka, susun letak watak-watak dalam ilustrasi ini menimbulkan suasana penceritaan yang sungguh menarik. Ternyata ilustrasi Puan Nur Jannah Dini berjaya menarik minat kanak-kanak yang menggunakan buku tersebut.

(Hakcipta ilustrasi milik Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.)

Ibu, Motivator dan Ilustrator

Puan Nur Jannah Dini, ibu kepada empat belas orang anak. Empat daripada anak beliau adalah kembar seiras. Bagi pembaca majalah 'Anasihah' diterbitkan sekitar tahun 80an pasti biasa melihat nama pelukisnya Ibnu Yaqin dan di majalah 'Al-Ain' dengan nama Jannah. Kedua-dua nama samaran tersebut digunakan Puan Nur Jannah Dini suatu ketika dahulu. Bakat seni lukis yang diwarisi dari bapanya, Kartunis Dinie Jurie yang menghasilkan kartun Long&Dogol di 'Utusan Malaysia' pada akhir 70an kini mengalir dalam dirinya. Puan Nur Jannah Dini kini merupakan seorang ilustrator yang cukup berpengalaman dalam menghasilkan ilustrasi buku kanak-kanak. Setiap ilustrasi yang dihasilkan beliau menampakkan ketelitian kerja serta kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Mimik muka, aksi, pakaian, susun letak karektor dan latar belakang cukup membuatkan suasana di dalam ilustrasi itu hidup. Setiap kali hendak mula melukis, beliau akan meneliti arahan yang diberi untuk difahami dan mencari rujukan jika ianya sesuatu yang jarang dilihat di sekeliling. Bagi ilustrasi buku cerita kanak-kanak yang memerlukan watak kanak-kanak untuk dilukis, Puan Nur Janah Dini menjadikan anak-anak beliau sebagai sumber inspirasi bagi mendapatkan gambaran aksi, bentuk tangan, mimik muka, juga kedut pakaian setiap aksi pergerakan. Ilustrasinya juga pernah digunakan oleh kumpulan nasyid terkenal dalam sebuah pembikinan video klip bagi album nasyid mereka. Puan Nur Jannah Dini kini masih aktif melukis ilustrasi untuk majalah kanak-kanak, buku cerita dan pendidikan kanak-kanak kepada beberapa buah syarikat penerbitan. Selain itu beliau sering diundang sebagai motivator dan sedia menerima sebarang jemputan bagi program motivasi keluarga. Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau boleh terus menghubungi telefon bimbit beliau di nombor 016-238 2792.

12 April 2007

Rahsia Jutawan Siber

Perniagaan melalui internet kini menjadi salah satu cara paling mudah dan berkesan untuk mendapatkan perhatian dan pelanggan. Ini kerana perubahan zaman ke arah teknologi semakin pesat berkembang. Kemudahan penggunaan internet boleh dikatakan cukup meluas dari pusat bandar hingga ke pelusuk kampung bagi penjual mengenengahkan produk masing-masing dengan cepat dalam tempoh masa yang singkat. Kini impian menjadi seorang jutawan internet bukan lagi satu khayalan. Dalam dunia kartun kesempatan dan peluang ini tidak dilepaskan begitu sahaja oleh seorang pelukis karikatur, ilustrator juga kartunis yang terkenal dengan cartoon strip di harian metro, berita minggu dan sisipan Joran. Sering melukis karikatur di pesta dan majlis konvokesyen. Khidmat melukis karikatur kini disediakan beliau melalui internet. Usaha ini patut dicontohi kerana inilah laman web pertama di Malaysia yang menyediakan khidmat melukis karikatur seperti ini! Untuk mendapatkan maklumat khidmat beliau sila layari www.karikatur4u.com

Perniagaan internet juga boleh dimulakan tanpa modal yang besar. Ia boleh dikendalikan serta boleh menjana keuntungan yang besar. Bagi yang ingin memulakan perniagaan melalui internet tetapi tidak tahu bagaimana caranya, pelajari beberapa rahsia melalui sebuah kursus yang komprehensif dan dibimbing oleh mereka yang telah berjaya dan membuktikan bahawa sesungguhnya internet boleh menghasilkan pulangan dan pendapatan yang luarbiasa.
Sudah tiba masanya kita menjadi bos kepada diri kita sendiri. Kita boleh menjalankan perniagaan di dalam keselesaan rumah kita sendiri. Tidak kira apakah latar belakang pendidikan, kita boleh melakukannya dengan penuh yakin! Lihat kursus dan maklumat lanjut diusahakan seorang jurutera di
http://kongsiebay.blogspot.com/

09 April 2007

Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa 2007

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) telah mengatur pelbagai aktiviti menarik pada 02-08 April 2007 Bersempena dengan Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa yang disambut pada 02 April setiap tahun dan meraikannya dengan tema, 'Buku Untukku dan Untukmu'.

Aku yang masih kerdil dalam dunia mempamerkan hasil karya diberi peluang dan ruang untuk mempamerkan ilustrasi buku kanak-kanak milik aku. Sebanyak tujuh ilustrasi koleksi peribadi telah aku pamerkan bersama sebelas ilustrator lain termasuk dua orang ilustrator buku kanak-kanak yang aku kagumi iaitu Yusuf Ismail atau dikenali dengan nama Yusuf Gajah dan Asmadi Abdul Wahab juga dikenali dengan nama Adi.

Majlis pelancaran yang telah berlangsung pada Isnin, 02 April 2007 jam 2:30 petang di ruang legar Perpustakaan Raja Tun Uda telah disempurnakan oleh YB Dato Ahmad Nawawi M Zin, Exco Pendidikan Negeri Selangor dengan jayanya manakala majlis penutup telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 2, Klang pada Sabtu, 07 April 2007 dengan kerjasama Puteri UMNO Bahagian Kota Raja.

Program yang bertujuan meraikan kanak-kanak dengan dunia buku ini merupakan satu aktiviti menggalakkan kanak-kanak menghayati buku di dalam dunia persekitaran mereka. Program seperti ini sentiasa disambut meriah oleh negara-negara lain di dunia, PPAS dan MBBY telah merintis langkah untuk terus menjadikan buku dan kanak-kanak ke arah membina keamanan dan keharmonian dunia.

08 April 2007

Ilustrasi Pameran.

'Hati-Hati Lintas Jalan'



A) Ilustrasi berjudul 'Rumah Saya' menggambarkan tempat berteduh suatu kehidupan sederhana sebuah keluarga bahagia.



B) 'Hujan Rintik-Rintik' menyampaikan mesej alam ciptaan Tuhan.



C) Zaman kanak-kanak yang disampaikan dalam ilustrasi berjudul 'Beri Makan Ayam'.



D) Tiga sekawan disergah dalam ilustrasi berjudul 'Jangan Pijak Rumput!'.





Ilustrasi berjudul 'Jangan Tunjuk Pelangi, Mari Main Layang-Layang!' adalah antara koleksi peribadi, juga telah dipamerkan sempena Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa 2007 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY).


© jOnOs 2007

07 April 2007

Hantu's And Spells




Baru-baru ini aku telah diberikan satu tugas menghasilkan
ilustrasi bagi sebuah buku cerita misteri berjudul 'Hantu's And Spells'
karya Nambai. Hendak menyiapkan 20 ilustrasi bagi buku
cerita ini dalam tempoh 14 hari cukup membuatkan aku duduk
dalam dunia aku tanpa makan tengahari. Ahaha.
Sebuah buku yang ditulis berdasarkan kisah benar dari kajian
penulis menjadikan aku tunggang terbalik mencari bahan rujukan.
Dan inilah sebahagian hasilnya...
Nambai sebelum ini pernah menghasilkan dua buah buku cerita berilustrasi
dalam bahasa Inggeris berjudul 'Nambai Life Is..'
ilustrasi dihasilkan oleh kartunis tersohor Ujang
dan 'Scorpion A Cats Tale' ilustrasi
karya Khairul Azuwan.