26 April 2007

Siapa Zulkifli S.M Anwar Ulhaque?

Mungkin tidak ramai yang mengenali Zulkiflee bin S.M. Anwar Ulhaque, anak kelahiran Bukit Junun, Gurun, Kedah ini. Mula berkarya seawal tahun 1973 di majalah 'Bambino', kemudian kartun karyanya mula tersiar di majalah 'Kisah Cinta' dan akhbar 'Mingguan Perdana'.

Zulkiflee bin S.M. Anwar Ulhaque adalah nama sebenar kartunis yang terkenal dengan nama samarannya Zunar. Zunar seterusnya berkarya bersama majalah 'Gila-Gila' terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd. Ideanya yang sinis, mula menarik perhatian pembaca juga penerbit lalu ditempatkan kartun karya Zunar di dalam majalah sisipan 'Gila-Gila', 'Cili Padi' dengan kartun berjudul 'Gebang-gebang'.

Atas sambutan peminat serta pembaca 'Cili Padi' yang begitu menggalakkan, 'Gebang-gebang' akhirnya diterbitkan dalam bentuk koleksi. Zunar juga pernah memegang jawatan sebagai setiausaha Persatuan Kartunis Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pekartun). 'Papa' pula merupakan karya Zunar yang disiarkan bersama akhbar 'Berita Harian' dalam bentuk kartun strip. Selain itu kartun berjudul 'Cinta Tak Semestinya Bersatu' dengan watak pasangan kekasih 'Liza' dan 'Kadok', 'Ofis Corner' yang memaparkan ragam kakitangan-kakitangan pejabat antara karya Zunar yang masih dicari pembaca serta peminat bagi generasi baru sebagai simpanan koleksi peribadi masing-masing.

Pada sekitar tahun 1998, atas rasa tanggungjawab beliau sebagai kartunis yang ingin menyampaikan sesuatu kepada masyarakat, Zunar mula beralih kepada bentuk kartun politik. Kali ini kartun politik hasil karyanya diterbitkan bersama akhbar 'Harakah'. Idea-idea tajam dengan humor yang sinis menunjukkan kematangan beliau dalam berkarya. Gaya lukisan kartun yang unik serta karikatur wajah ahli politik terkini dan terdahulu sering mencuit hati pembaca dan peminatnya dengan penyampaian mesej yang penuh makna.

Zunar masih bergerak aktif membentuk bakat-bakat baru sebagai kartunis pelapis di dalam bengkel kartun bersama beliau pada penghujung tahun 2006. Sifatnya yang kelakar dan suka bergurau menimbulkan satu suasana yang ceria bagi setiap sesi pembelajaran di dalam bengkel yang dianjurkan.

Buat peminat-peminat kartun karya Zunar yang telah lama menunggu, sebuah koleksi terbaru beliau telah berada di pasaran berjudul 'Cartoons On Tun And Others'. Bagi yang ingin melihat rakaman pelancaran buku itu serta gambar-gambar boleh menziarahi....
http://blog.twilight-zones.com/?p=107 dan yang ingn membeli secara on line sila ke http://www.kinibooks.com/product_info.php?products_id=659 .

Zunar kini masih lagi berkarya untuk kartun politik di akhbar 'Harakah', 'Suara Keadilan', dan 'Wasilah'. Sebuah buku yang berjudul 'Ayah Kita Bos' hasil tulisan 'Si Naga-naga' dan 'Tok Rimau' turut menyiarkan kartun sentuhan Zunar.
Autograf dari kartunis Zunar beserta kata-kata semangat sebagai dorongan buat aku.



Para peserta sedang tekun mempelajari ilmu di dalam bengkel 'Motivasi Karya' bersama kartunis Zunar.