Sebuah kondominium dijadikan studio sementara untuk kami berkumpul bagi menjalankan proses awal penerbitan majalah ini. Di situlah perbincangan idea dan konsep bermula. Dua minggu kemudian, sebuah studio sebenar berjaya disediakan bertempat di Brickfields.
Dua hari sebelum Gedung Kartun dihantar oleh pencetak kepada kami, studio telah dipecah masuk. Sejumlah 8 monitor komputer telah dicuri serta beberapa peralatan lain. Dua hari kemudian, apabila Gedung Kartun siap dicetak dan dihantar sebahagiannya ke studio, lapan orang pegawai dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyerbu dan merampas sebanyak 408 naskah.
Ada juga perniaga-perniaga kecil yang berniaga di tapak-tapak ceramah dan pasar malam datang sendiri ke studio untuk menjadi pengedar kepada majalah Gedung Kartun. Gedung Kartun hanya dapat dicetak satu keluaran sebagai edisi pengenalan.
Lukisan kartun kini mencungkil saraf politik apabila Pegawai Kanan Berkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu pejabat Gedung Kartun, dan merampas 408 naskah majalah dwibulan itu, pagi ini. Ketua Editor Gedung Kartun, Zunar walau bagaimanapun menolak permintaan untuk dibawa soal-siasat di pejabat KDN Selangor. Menurut Pengarah Pentadbiran Syarikat Sepakat Efektif, Jasmine Ng, seramai lapan orang pegawai terlibat dalam tindakan rampasan ini, termasuk enam dari pejabat Shah Alam dan dua dari pejabat Putrajaya, diketuai Pegawai Kanan Berkuasa dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Nor Sadzilah. Gedung Kartun adalah terbitan Syarikat Sepakat Efektif. Terbitan sulung majalah dwibulan yang berslogankan "majalah jenaka alternatif" ini ditemui di pasaran, mulai semalam. MerdekaReview dimaklumkan bahawa sejumlah 10,000 naskah dicetak dan kebanyakannya diedarkan. Pegawai KDN merampas kesemuanya 408 naskah majalahGedung Kartun yang tinggal di pejabat yang bertempat di Brickfield, Kuala Lumpur. Alasan: Tanpa permit Jasmine Ng ketika ditemuramah MerdekaReview, berkata Nor Sadzilah memaklumkan bahawa majalah Gedung Kartun melanggar undang-undang kerana tidak memiliki permit. Namun, Jasmine Ng membela bahawa pihak syarikatnya telah cuba mendapatkan permit pada 14 Ogos di pejabat KDN, dan diberikan nombor permitnya oleh pegawai di situ. Menurut Jasmine Ng, pegawai yang memberikan nombor permit itu berkata, permit akan dikirim ke pejabatnya selepas itu. JasmineNgyang berpengalaman dalam penerbitan Suara Keadilan, berkata penerbitan boleh dimulakan hanya dengan nombor permit. "Suara Keadilan juga dimulakan dengan diberikan nombor permit sahaja. Kami hanya menerima permit itu selepas tiga bulan," katanya. Jasmine Ng menambah, menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, terbitan tunggal (bukan berkala) tidak memerlukan permit. "Gedung Kartun pertama kali diterbitkan, belum pun diterbitkan jilid kedua, ketiga dan seterusnya, jadi tiada alasan untuk mengambil tindakan terhadap kita mengikut apa akta pun." "Untuk kami, ini sememangnya penguatkuasaan secara selektif," tekan Jasmine Ng yang tidak puas hati dengan Nor Sadzilah, yang disifatkannya "bersikap angkuh". Najib disindir Gedung Kartun merupakan karya Zunar, atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Haque selepas meninggalkan lidah Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan. Beliau pernah berkecimpung dalam dunia kartun sebelum ini, malah pernah bekerja di majalah Gila-Gila. Zunar (gambar kiri berbaju hitam) terkenal dalam zaman reformasi pada akhir tahun 1990-an, menjadi kartunis kontroversi dengan beberapa karya yang sinis mempersendakan PM ketika itu, Mahathir Mohamad. Zunar juga pernah mengusik pemimpin pembangkang, misalnya Anwar Ibrahim dengan sindirian "demonstrasi-reformasi-'wait and see'". Kali ini, Zunar kembali ke dunia kartun dengan majalahnya yang dijadualkan akan terbit dua kali setiap bulan, pada 10 dan 20 haribulan. Majalah dengan 68 halaman dan berharga RM4 ini, juga memuatkan tulisan seperti Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Rahmat Haron, dan Sasterawan Negara, A Samad Said. Gedung Kartun menyerang pasaran dengan kartun "Najib tersalah naikkan bendera Mongolia pada hari Kemerdekaan" di muka depannya. Apakah ini sebab sebenarnya Gedung Kartun dirampas? *Laporan ini ditulis Wong Shu Qi, wartawan MerdekaReview, diterjemah dan disunting Lim Hong Siang. Sumber: Klik di sini © jOnOs 2010 |