20 April 2007

Ilustrasi Nur Jannah Dini

Pada 25 Julai 2005 di Hotel Istana, Kuala Lumpur sebuah buku pendidikan awal kanak-kanak berjudul 'Cepat Baca' telah menerima hadiah galakan sempena Anugerah Buku Negara bagi kategori Pembikinan Buku Terbaik Buku Kanak-kanak Dalam Bahasa Melayu. Apa yang ingin aku kongsikan di sebalik buku 'Cepat Baca' ini adalah berkenaan ilustrasinya. Semua ilustrasi di dalam buku tersebut dilukis oleh Puan Nur Jannah Dini dan diwarnakan oleh ilustrator dalaman pihak penerbitan. Setiap aksi, mimik muka, susun letak watak-watak dalam ilustrasi ini menimbulkan suasana penceritaan yang sungguh menarik. Ternyata ilustrasi Puan Nur Jannah Dini berjaya menarik minat kanak-kanak yang menggunakan buku tersebut.

(Hakcipta ilustrasi milik Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.)

Ibu, Motivator dan Ilustrator

Puan Nur Jannah Dini, ibu kepada empat belas orang anak. Empat daripada anak beliau adalah kembar seiras. Bagi pembaca majalah 'Anasihah' diterbitkan sekitar tahun 80an pasti biasa melihat nama pelukisnya Ibnu Yaqin dan di majalah 'Al-Ain' dengan nama Jannah. Kedua-dua nama samaran tersebut digunakan Puan Nur Jannah Dini suatu ketika dahulu. Bakat seni lukis yang diwarisi dari bapanya, Kartunis Dinie Jurie yang menghasilkan kartun Long&Dogol di 'Utusan Malaysia' pada akhir 70an kini mengalir dalam dirinya. Puan Nur Jannah Dini kini merupakan seorang ilustrator yang cukup berpengalaman dalam menghasilkan ilustrasi buku kanak-kanak. Setiap ilustrasi yang dihasilkan beliau menampakkan ketelitian kerja serta kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Mimik muka, aksi, pakaian, susun letak karektor dan latar belakang cukup membuatkan suasana di dalam ilustrasi itu hidup. Setiap kali hendak mula melukis, beliau akan meneliti arahan yang diberi untuk difahami dan mencari rujukan jika ianya sesuatu yang jarang dilihat di sekeliling. Bagi ilustrasi buku cerita kanak-kanak yang memerlukan watak kanak-kanak untuk dilukis, Puan Nur Janah Dini menjadikan anak-anak beliau sebagai sumber inspirasi bagi mendapatkan gambaran aksi, bentuk tangan, mimik muka, juga kedut pakaian setiap aksi pergerakan. Ilustrasinya juga pernah digunakan oleh kumpulan nasyid terkenal dalam sebuah pembikinan video klip bagi album nasyid mereka. Puan Nur Jannah Dini kini masih aktif melukis ilustrasi untuk majalah kanak-kanak, buku cerita dan pendidikan kanak-kanak kepada beberapa buah syarikat penerbitan. Selain itu beliau sering diundang sebagai motivator dan sedia menerima sebarang jemputan bagi program motivasi keluarga. Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau boleh terus menghubungi telefon bimbit beliau di nombor 016-238 2792.