24 Mei 2007

Hidup Animasi!!

Pada 21 Mei lalu, dua kementerian telah ke Jepun dan Korea Selatan bagi melihat kemajuan program digital dan animasi di kedua-dua negara itu. 'Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan' (KeKKWa) serta 'Kementerian Sains, Teknologi dan Inovatif' (Mosti), telah bersama-sama membuat pertemuan dengan 'Gabungan Persatuan Animasi Korea' juga 'Pusat Kemajuan Animasi Korea' bagi membincangkan dan membuat rundingan bersama penggiat industri itu yang berada di tempat teratas di kalangan negara Asia dalam perkembangan animasi dan filem digital.

Perbincangan dan rundingan bersama penggiat industri dari kedua negara itu bertujuan untuk meminta kerjasama, bagaimana mereka boleh membantu dalam mengembangkan industri ini.

Finas telah menerima arahan dari Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Rais Yatim bagi menyiapkan kertas kerja yang diperlukan berkaitan keperluan program digital dan animasi ini. Menurut Dr Rais lagi, KeKKWa sentiasa prihatin terhadap hal ehwal kebajikan orang seni bukan sahaja karyawan filem malah antara lain penggiat teater, pengukir, pemuzik, pelukis, penulis dan lain-lain lagi. Satu peruntukan am berjumlah RM6 juta dimasukkan ke dalam 'Tabung Kebajikan Karyawan' di bawah KeKKWa bertujuan membantu golongan karyawan seni yang memberi sumbangan dalam bidang masing-masing.

Walaupun industri animasi dan digital kita agak ketinggalan berbanding negara lain, namun kita telah berjaya mendapat beberapa pengiktirafan dalam menghasilkan animasi. Beberapa pihak swasta juga sebenarnya sudah melakukan kerjasama dengan pelbagai pihak luar dalam menaikkan industri ini. Buat semua karyawan filem dan animasi, aku sertakan di bawah ini autograf dari tokoh animasi Malaysia, Hassan Abdul Muthalib atau lebih mesra dengan panggilan 'Pak Hassan' bagi golongan karyawan muda yang telah aku simpan sejak tahun 2000 ketika bersama-sama di 'Malaysian Animation Festival 2000' yang berlangsung di 'Kolej Yayasan Melaka' (KYM). Semoga kata-kata Pak Hassan ini dapat memberi semangat buat semua penggiat filem dan animasi di Malaysia.