29 Oktober 2007

Pameran Kartun Asia Ke-11


Sebanyak 75 karya kartun terbaru sentuhan 10 orang kartunis dari 10 negara asia telah dipamerkan di Perpustakaan Kuala Lumpur. Pameran yang bermula pada 25 Oktober 2007 akan berlangsung selama 17 hari sebelum memulakan gerakan pameran ke lokasi seterusnya di Kota Kinabalu, Sabah pada 15 November 2007 hingga 30 November 2007.

Presiden Persatuan Kartunis-kartunis Selangor (PEKARTUN), Tazidi, merupakan kartunis yang telah mewakili kartunis Malaysia dalam pameran ini. 9 lagi kartunis dari negara asia yang turut terlibat mempamerkan karya masing-masing antaranya Benny Rachmadi (Indonesia), Xia Dachuan (China), Shishir Bhattacharjee (Bangladesh), Lap (Vietnam), Suu Kohma (Jepun), Kosin Srilidtipradit (Thailand), Lyndon Gregorio (Filipina) Jayanto Benerjee (India) dan Dasa Hapuwalanage (Sri Lanka).

Pameran Kartun Asia Ke-11 ini turut mendapat sambutan pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia sepanjang pameran ini berlangsung. Kartun karya Kosin Srilidtipradit dari Thailand berjudul 'Job - Desert', kartunis Lap (Vietnam) karya berjudul 'Park Blossoming With Love', 'Short Cut' karya kartunis negara China, Xia Dachuan dan karya kartunis Malaysia, Tazidi berjudul 'Gangsterrism vs Headmaster' antara karya kartun yang menjadi tarikan pengunjung ketika dipamerkan. Selain mesej yang disampaikan melalui persembahan kartun mereka, ketelitian dalam penghasilan karya juga adalah salah satu kekuatan hasil kerja 4 orang kartunis ini menjadi tumpuan.

Semoga kejayaan pameran ini menjadi dorongan dan suntikan semangat buat kartunis-kartunis muda dalam berkarya sebagai pelapis di masa akan datang.


Tabik!



25 Oktober 2007

24 HOUR COMICS DAY

Cabaran 24 HOUR COMICS DAY 2007 telah berlangsung dengan jayanya di ruang legar Cineleisure Damansara pada 20&21 Oktober 2007. Acara yang dianjurkan oleh http://www.cedko.com/ menempatkan sekitar 50 orang pelukis komik amatur dan profesional.
Presiden Persatuan Penggiat Komik Malaysia http://www.pekomik.com/ Mohd Azhar, telah melancarkan cabaran melukis komik tepat jam 12 tengahari. 24 HOUR COMICS DAY juga turut diadakan di seluruh dunia pada masa dan tarikh yang sama.

Cabaran melukis komik 24 muka surat yang perlu disiapkan dalam tempoh 24 jam bermula jam 12 tengahari, Sabtu 20 Oktober dan berakhir jam 12 tengahari, Ahad 21 Oktober. Para peserta bersengkang mata bertungkus-lumus menghabiskan karya masing-masing. Ini merupakan acara kedua berlangsung selepas 24 HOUR COMICS DAY 2006 mendapat sambutan yang menggalakkan.

Para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa turut mengambil kesempatan mengenali pelukis komik yang menyertai secara lebih dekat lagi. Semoga 24 HOUR COMICS DAY 2008 mendapat sambutan dan sokongan yang berterusan.

Tabik!
Wajah-wajah peserta 24 HOUR COMICS DAY 2007.