09 April 2007

Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa 2007

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) telah mengatur pelbagai aktiviti menarik pada 02-08 April 2007 Bersempena dengan Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa yang disambut pada 02 April setiap tahun dan meraikannya dengan tema, 'Buku Untukku dan Untukmu'.

Aku yang masih kerdil dalam dunia mempamerkan hasil karya diberi peluang dan ruang untuk mempamerkan ilustrasi buku kanak-kanak milik aku. Sebanyak tujuh ilustrasi koleksi peribadi telah aku pamerkan bersama sebelas ilustrator lain termasuk dua orang ilustrator buku kanak-kanak yang aku kagumi iaitu Yusuf Ismail atau dikenali dengan nama Yusuf Gajah dan Asmadi Abdul Wahab juga dikenali dengan nama Adi.

Majlis pelancaran yang telah berlangsung pada Isnin, 02 April 2007 jam 2:30 petang di ruang legar Perpustakaan Raja Tun Uda telah disempurnakan oleh YB Dato Ahmad Nawawi M Zin, Exco Pendidikan Negeri Selangor dengan jayanya manakala majlis penutup telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 2, Klang pada Sabtu, 07 April 2007 dengan kerjasama Puteri UMNO Bahagian Kota Raja.

Program yang bertujuan meraikan kanak-kanak dengan dunia buku ini merupakan satu aktiviti menggalakkan kanak-kanak menghayati buku di dalam dunia persekitaran mereka. Program seperti ini sentiasa disambut meriah oleh negara-negara lain di dunia, PPAS dan MBBY telah merintis langkah untuk terus menjadikan buku dan kanak-kanak ke arah membina keamanan dan keharmonian dunia.