14 Jun 2007

SKRIP

Apakah yang dimaksudkan skrip? Skrip adalah suatu bentuk karangan yang mengikut ‘format khas’, untuk dijadikan satu bahan pengarahan bagi penerbitan persembahan ‘pandang dengar’ melalui media elektronik termasuklah animasi.

Jenis skrip pula bergantung kepada corak cerita itu sendiri. Sekiranya cerita itu berkisarkan kisah permasaalahan masyarakat bandar atau luar bandar, maka jenis skrip itu tergolong ke dalam kategori ‘Drama Masyarakat’ atau ‘Sosial. Jika skrip itu berkenaan kisah pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap tetapi lebih kepada unsur humor, maka itu dikategorikan kepada cerita ‘Aksi Komedi’.

Pereka cerita yang telah mempunyai idea atau ilham akan menulis ‘sinopsis’ dan mengembangkannya di dalam bentuk skrip. Skrip akan membentuk pergerakan cerita. Di dalam sebuah skrip akan dinyatakan petunjuk atau bilangan adegan, situasi tempat, lokasi, masa, kerja asas kamera, arahan aksi, watak, dialog dan arahan khusus watak.

Seorang penulis skrip tidak perlu menulis dalam gaya penulisan yang ‘berbunga-bunga’ di dalam skripnya kecuali pada dialog yang memerlukan watak itu berkata demikian seperti di babak romantik perbualan suami dan isteri atau pasangan kekasih.

Penulis skrip perlu menulis bagi melahirkan idea atau ilhamnya agar dapat difahami oleh pengarah filem supaya ia tidak lari dari idea sebenar. Ini bermakna seseorang penulis skrip bukan sahaja perlu mewujudkan 'komunikasi' bersama pengarah malah terhadap penonton supaya jalan cerita dan mesej dapat difahami.

Seseorang penulis skrip perlu menulis dengan gaya bahasa yang mudah difahami, ringkas dan tepat. Penulis skrip juga harus memastikan setiap urutan cerita dan adegan dapat difahami apabila seluruh cerita itu telah diikuti atau ditontoni para penonton. Skrip biasanya ditaip di atas kertas bersaiz A4. Berikut adalah contoh penulisan skrip yang biasa digunakan oleh golongan penulis skrip professional.


ADEGAN: 05

EXT. TEPI SUNGAI. PAGI.


PERLIHATKAN PEMANDANGAN DI SUNGAI YANG TENANG DI PINGGIR HUTAN. SANG KANCIL DATANG KE TEBING SUNGAI DAN BERDIRI DI ATAS AKAR POKOK BESAR YANG MENJALAR KE ARAH AIR SUNGAI. SANG KANCIL MEMBAWA BERSAMANYA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING.


SANG KANCIL:

Wahai buaya-buaya sungai sekalian. Dengar sini semua! Aku datang dengan membawa perkhabaran baik dari Istana Segumpal.


DENGAN MIMIK MUKA YANG BERSAHAJA SANG KANCIL MEMBUKA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING DI TANGANNYA DENGAN TENANG. LIMA EKOR BUAYA BERWARNA KELABU, BIRU, MERAH, UNGGU DAN MERAH JAMBU TIMBUL DI PERMUKAAN AIR SUNGAI YANG TENANG DENGAN MENUNJUKKAN KEPALANYA.


Raja Al-Baladi telah menjemput semua buaya penghuni sungai ini ke istana pada esok pagi. Baginda mengadakan makan kenduri. Aku juga telah diperintahkan untuk mengambil buah-buahan di seberang sana.


SANG KANCIL MENUNJUKKAN KE ARAH KEBUN BUAH-BUAHAN DI SEBERANG SUNGAI DENGAN MENGANGKAT TANGAN KANANNYA. BUAYA-BUAYA DI DALAM SUNGAI BERPALING MELIHAT ARAH KEBUN BUAH-BUAHAN.


BUAYA BIRU:

Tahukah kau berenang wahai Sang Kancil?


BUAYA BIRU BERTANYA SEAKAN-AKAN MENYINDIR SAMBIL TERSENYUM SINIS MENGANGKAT KENING BERULANG KALI.


BUAYA MERAH JAMBU:

Apa kau tidak takut menjadi sarapan kami?


BUAYA KELABU, BUAYA MERAH DAN BUAYA BIRU:

Aha ha ha ha ha ha.


KETAWA TERBAHAK-BAHAK MENAMPAKKAN ANAK TEKAK YANG TERJELIR HAMPIR SAMA PANJANGNYA DENGAN LIDAH MEREKA SAMBIL TANGAN MEMEGANG PERUT YANG LAPAR.


SANG KANCIL:

Hai! Sang Bedal berlima…Di antara kalian menjamah aku, dibandingkan dengan hidangan kenduri di istana esok pagi…Yang mana satukah kalian idamkan?


KELIMA-LIMA EKOR BUAYA TERDIAM DAN MENELAN AIR LIUR SALING BERPANDANGAN SESAMA SENDIRI SETELAH MENDENGAR KATA-KATA SANG KANCIL.


BUAYA KELABU:

Kami bergurau saja Sang Kancil. Begini, beri kami berbincang dahulu seminit dua.


SANG KANCIL:

Baiklah, tetapi jangan lama-lama!


BUAYA KELABU:

Ehem hem hem… Sudah tentu hanya dua minit sahaja. Buaya- buaya sekalian! Mari kita ke meja perhitungan!


BUAYA KELABU KETAWA KECIL. DENGAN PANTAS BUAYA KELABU MENGARAHKAN EMPAT SAHABATNYA BERKUMPUL KE BAWAH SEBATANG POHON RENDANG DI SEBERANG SUNGAI BERHAMPIRAN KEBUN BUAH-BUAHAN. SEMUA BUAYA BERGERAK PANTAS.



CUT-


Pada contoh skrip tersebut terdapat beberapa perkara penting yang berfungsi sebagai ‘petunjuk adegan’. Setiap satu daripadanya memainkan peranan penting seperti:


BILANGAN ADEGAN.

ADEGAN 05:
Terdapat pada awal penulisan skrip merupakan nombor bilangan adegan. Adegan yang dihasilkan pada skrip di atas menunjukkan adegan kelima dalam sebuah cerita. Nombor bilangan amat penting untuk memberi kefahaman terhadap pembaca, di adegan manakah sedang mereka lakonkan atau arahkan.


SITUASI DAN TEMPAT.

EXT.
Skrip ini menunjukkan lokasinya adalah di kawasan ‘luar’. ‘EXT’ adalah ringkasan bagi ‘exterior’. Jika lokasinya adalah di dalam rumah, pejabat, kedai dan lain-lain, ia akan ditulis menggunakan ringkasan ‘INT’ bagi penggunaan ‘interior’.
Dari sudut teknikal, ia mampu membantu ‘pengarah sinematografi’ mewujudkan suasana yang sesuai dengan babak yang dikehendaki oleh sutradara.



LOKASI.

TEPI SUNGAI.
Setiap watak yang beraksi sudah tentu berlatar belakangkan sebuah tempat seperti di rumah, jalanraya, atas pokok dan sebagainya. Dalam skrip di atas lokasinya adalah di tepi sungai dalam hutan yang mempunyai pokok-pokok besar.


MASA.

PAGI.
Bagi sesebuah adegan, masa menunjukkan berlakunya sesuatu situasi itu contohnya seperti malam, petang, tengahari atau senja. Masa dalam contoh skrip di atas menunjukkan masa bagi situasi itu berlakunya pada waktu pagi.


CERITA, ARAHAN AKSI DAN KERJA KAMERA.

PERLIHATKAN PEMANDANGAN DI SUNGAI YANG TENANG DI PINGGIR HUTAN. SANG KANCIL DATANG KE TEBING SUNGAI DAN BERDIRI DI ATAS AKAR POKOK BESAR YANG MENJALAR KE ARAH AIR SUNGAI. SANG KANCIL MEMBAWA BERSAMANYA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING.
Animasi akan digerakkan oleh juruanimasi dan pembantu juruanimasi mengikut arahan pengarah animasi bagi menghidupkan cerita. Setiap gerakan watak animasi itu pula dibuat berpandukan rekaletak babak. Rekaletak babak pula dihasilkan merujuk kepada papan cerita.
Dengan membaca perenggan arahan yang ditulis penulis skrip, juga akan dapat membantu gerakan kamera yang diperlukan mengikut gerak dan aksi watak. Ia berfungsi secara tiga dalam satu iaitu membaca adegan cerita, memberi arahan aksi watak dan mencadangkan gerakan asas kerja kamera.


NAMA WATAK.

SANG KANCIL:
Nama watak akan ditaip di tengah-tengah dengan jarak selang 'dua' atau 'empat' baris dari kolum 'arahan cerita'. Nama watak pula mesti di taip dengan menggunakan huruf besar.


DIALOG.

Wahai buaya-buaya sungai sekalian. Dengar sini semua! Aku datang dengan membawa perkhabaran baik dari Istana Segumpal.
Dialog akan di taip selang dua baris dari jarak NAMA WATAK dan di tulis dalam huruf kecil, kecuali huruf bagi permulaan dialog, nama tempat, nama orang, huruf selepas noktah, tanda seruan dan sebagainya.


ARAHAN KHUSUS WATAK.

DENGAN MIMIK MUKA YANG BERSAHAJA SANG KANCIL MEMBUKA SEGULUNG KERTAS BERIKAT KAIN BERWARNA KUNING DI TANGANNYA DENGAN TENANG. LIMA EKOR BUAYA BERWARNA KELABU, BIRU, MERAH, UNGGU DAN MERAH JAMBU TIMBUL DARI PERMUKAAN AIR YANG TENANG DENGAN MENUNJUKKAN KEPALANYA.
Arahan khusus watak berbeza dengan arahan kamera, aksi watak atau arahan cerita untuk kefahaman pembaca skrip (pelakon watak). Di dalam penulisan skrip, arahan ini dibuat khusus bagi watak sahaja untuk beraksi. Arahan ini ditaip di tengah-tengah, juga dengan menggunakan huruf besar kesemuanya. Arahan ini juga bertindak sebagai panduan untuk membimbing aksi watak.


© jOnOs 2007

17 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sdr jonos,

Satu usaha yang jarang saya temui di dalam web, mungkin yang pertama dan bakal mencetuskan bahan bersiri. Ada potensi menjadi sumber rujukan untuk yang berbakat dalam penulisan skrip.

Mungkin satu ancaman kepada yang selama ini memonopoli bidang ini..

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih, Sdr Jonos kerana sudi berkongsi ilmu.

ez

Tanpa Nama berkata...

Sdr. Jonos,
Walaupun saya tidak mengenali saudara tetapi saya tabik spring kerana kejujuran saudara menyampaikan ilmu walaupun sedikit tetapi sangat bermanfaat terutama kepada yang bakal mencuba nasib di bidang ini.

R. Haris

Panaharjuna berkata...

Ya. cara membuat skrip ini tepat. Untuk memudahkan lagi boleh guna FinalDraf. Diakui oleh semua penulis skrip sebagai alat bantuan yang paling penting untuk menulis skrip.

Kiraan adeangan, masa dan scene akan di pendekkan. Bagi animasi,kiraan masa secara anggaran lisan sudah boleh dibuat.

Saya berharap ada lagi contoh-contoh yang bagus seperti ini.

Teruskan saudara Jonos!

Panaharjuna berkata...

hahaha maafkan saya

Scene = adengan

maksud saya kiraan SITUASI DAN TEMPAT.

Secara penulisan skripnya ia juga boleh ditulis begini

SC5. EXT. TEPI SUNGAI. PAGI.

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih Tuan Rastom yang saya hormati, Sdr Ez, Tuan R.Haris dan Dato Panaharjuna. Insyaallah semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Namun, setiap kelemahan yang ada di sini diharap dapat diberi tunjuk ajar oleh mereka yang labih berilmu.

Dato Panaharjuna juga sebenarnya adalah seorang yang berpengalaman luas di dalam bidang penulisan skrip.

el-Maaniq berkata...

selalunya aku refer kat http://bicaraskrip.blogspot.com/

tapi kat sini pun bestt

Tanpa Nama berkata...

Link yang menarik tu Elmaniq.Nanti aku ziarah untuk tuntut ilmu.

Norhaidatul Azian Tajul Ariffin berkata...

selain bicara skrip,saya juga sering ke http://zainikosnin.blogspot.com/

Terima kasih atas info saudara di blog ini
:-)

fahana_ann berkata...

trima kasih untuk mklumat bermanfaat..

Tanpa Nama berkata...

sangat membantu saya sebagai pensyarah dalam menulis skrip animasi..

munirah berkata...

kalau boleh, mohon pandangan saudara jonos mengenai draf cerita.. adakah format tertentu utk menulis draf cerita?

jOnOs berkata...

Terima kasih kepada yang berkunjung & memberi komen. Maaf, saya sudah lama tidak kemaskini blog ini. Sekarang dalam proses menghidupkannya kembali.

Kepada Saudari Munira,
Draft cerita tidak semestinya perlu format tertentu. Ia boleh juga ditulis seperti sinopsis mengikut urutan asas cerita atau plot secara kasar.

Asalkan kita atau pihak yang mahu kita ajak berbincang itu faham, sudah memadai.

Tanpa Nama berkata...

ribuan terima kasih. - cintaal-aqsa@blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

terima kasih kerana menyumbang ilmu. moga diteruskan usaha ini.

haneelah berkata...

Terima kasih kerana berkongsi ilmu :)

jOnOs berkata...

Terima kasih kepada yang masih membaca catatan di blog ini.